Bumi Indonesia yang mana terdiri daripada 17 508 pulau serta dengan kepadatan penduduk seramai 250 00 orang telah dijejaki oleh 18 orang delegasi diiringi 3 pegawai pada 8 disember lalu. Sebuah program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kolaborasi Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memilih tarikh 6 Disember sebagai permulaan kepada program. Persediaan telah dilakukan sebaik mungkin sebermula para delegasi sampai di UPM. Dengan berlatar belakang dari pelbagai kepakaran serta universiti, para delegasi telah ditugaskan untuk merancang pengisian program berdasarkan kepada tentatif yang telah disediakan. Program ini selain daripada menyokong teras ketujuh PSPTN iaitu mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Agenda Kritikal No.16: Pembangunan Sahsiah Pelajar secara Holistik, ia juga sebagai salah satu usaha bagi memberikan pendedahan kepada pemimpin di IPT untuk mendapat pengalaman dan pembelajaran di luar negara.


Jam 12.00 tengah hari, 8 Disember, rombongan sampai di lapangan terbang Sokarno Hatta, Jakarta. Mengambil nama sempena Presiden pertama Indonesia, lapangan terbang nya tidak secanggih atau semewah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, namun apa yang menarik perhatian saya ialah, mengenai landskapnya yang telah diwujudkan berhampiran dengan kawasan kapal terbang mendarat. Bagi saya, itu ialah sesuatu yang unik memandangkan untuk memastikan tumbuhan di landskap terus hidup subur adalah sesuatu yang amat sukar memandangkan keadaan sekelilingnya yang penuh berdebu dan tercemar dengan asap kapal terbang. Kawasan sekitarnya juga ialah bersebelahan dengan kawasan perumahan dan ini memerlukan penduduknya mengadaptasikan diri dengan suasana bising serta sesak setiap hari.


Rombongan terus dibawa ke restoran yang berusia hampir 400 tahun di Jakarta. Mengharungi kesesakan lalu lintas bandaraya Jakarta yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 15 juta orang merupakan sesuatu yang amat memenatkan. Apa yang dapat dipelajari ialah, bagaimana mereka boleh memastikan bangunan berusia ratusan tahun terus utuh berdiri di kawasan yang sesak. Ini boleh dibandingkan dengan bandar Georgetown Pulau Pinang yang juga masih memastikan bangunan warisan masih kekal di keseluruhan bandar mereka. Selain untuk mengekalkan sejarah yang satu masa dulu mencorakkan bandar, ia juga sebagai salah satu cara untuk menarik pelancong datang.


Pada awalnya, Indonesia cuma membenarkan rakyatnya yang berbangsa Jawa sahaja menjadi Presiden. Namun semenjak pemerintahan Gus Dur, serta takhta kerajaan berjaya juga ditakluki oleh wanita, iaitu Megawati, Indonesia terus pesat membangun. Ini boleh dilihat daripada usaha rakyat mereka yang memanfaatkan tanah terbiar di tepi laut untuk digunakan bercucuk tanam. Sebagai sumber ekonomi juga, banyak kelong serta tukun di laut dapat dilihat digunakan sebagai tempat pembiakan ikan.


Bagi pengisian slot Kembara Ilmu ke Institut Pertanian Bogor (IPB), para delegasi telah didedahkan dengan banyak penghasilan tanaman baru serta beberapa inovasi telah diwujudkan bagi pelbagai tanaman. Antara kejayaan mereka ialah tentang padi mereka yang mencecah 26 spesis serta 18 spesis kacang soya. Memanfaatkan sepenuhnya kepakaran mereka dari segi research and development (RnD), diharapkan agar kelebihan yang terdapat di gedung ilmu IPB ini dapat di adakan kerjasama antara universiti di Malaysia untuk memaksimumkan lagi kejayaan dari segi pertanian di anatara dua buah negara ini. Dapat juga dilihat, kebanyakan dari mahasiswa IPB yang menyambut ketibaan delegasi Malaysia berasal dari Sabah serta Sarawak, adalah satu kelebihan bagi mereka serta negara andai mereka pulang berbakti di negeri mereka apabila tamat pengajian kelak.


Beberapa perkongsian maklumat mengenai Kemahiran Insaniah bagi kedua-dua buah negara juga telah dibincangkan. Bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM), antara inisiatif yang diambil ialah dengan mengeluarkan transkrip bagi mahasiswa sesudah tamat pengajian, bergantung kepada kecemerlangan kokurikulum mahasiswa tersebut. Terdapat juga beberapa universiti di malaysia yang mengaplikasikan aktiviti kokurikulum berkredit bagi akademik dengan 4-6 jam kredit. Bagi IPB, mahasiswa mereka boleh mendapatkan transkrip kokurikulum dengan mengajukannya kepada pihak akademik IPB. Kebanyakan mahasiswa IPB juga terlibat aktif dengan kesenian serta kebudayaan.


Usai sesi Kembara Ilmu, dalam perjalanan pulang ke Jakarta, dapat dilihat kedaan rumah di sepanjang jalannya adalah rapat-rapat serta mempunyai ruang yang amat sedikit serta membataskan pergerakan. Juga dapat dilihat beberapa penempatan setinggan di bawah jambatan Jakarta walaupun telah terpampang jelas tanda amaran kerajaan yang melarang sebarang penempatan diwujudkan di situ. Ini membolehkan mereka yang tinggal di situ terdedah kepada penyakit akibat asap kenderaan di kiri dan kanan mereka serta keadaan sekitar yang tidak bersih untuk dihuni.


Pada hari kedua telah diadakan sesi Kembara Ilmu ke Universitas Padjadjaran. Daripada sesi ini, beberapa perancangan akan dilakukan bagi persiapan slot berikutnya iaitu slot Mahasiswa Prihatin; satu pengisian yang bertemakan bakti siswa bagi penduduk kampung Jati Nangor serta Panti Asuhan (pusat jagaan anak-anak yatim) Rabiatul Jannah, Bandung. Restoran Ampera telah dipilih sebagai tempat pertemuan, perbincangan diadakan dalam suasana santai antara delegasi serta wakil pemimpin mahasiswa Malaysia di Indonesia.


Slot aktiviti Mahasiswa Prihatin bermula pada jam 2.30 petang dengan pemeriksaan kesihatan oleh beberapa mahasiswa Malaysia jurusan kedokteran Universitas Padjadjaran. Delegasi bertindak selaku pembantu dengan sebilangan dari mereka mengagihkan barangan makanan atau lebih dikenali sebagai ‘sembako’ yang bermaksud 9 bahan pokok atau asas iaitu beras, minyak, gula, tepung, sayur, kacang, daging, telur dan garam. Disebabkan oleh kos rawatan serta biaya hospital yang amat tinggi, kebanyakan penduduk kampung mengalami kesukaran untuk mendapatkan rawatan kesihatan disebabkan masalah kewangan serta faktor jarak kediaman yang terlalu jauh dari pusat rawatan kesihatan berhampiran. Terdapat penduduk kampung yang cuma bergantung kepada herba serta rawatan kampung untuk mengubati penyakit seperti darah tinggi serta kencing manis. Dibandingkan dengan Malaysia yang jauh lebih baik taraf perkhidmatan kesihatannya ditambah pula dengan inisiatif kerajaan mewujudkan klinik 1 Malaysia yang mampu dibayar kosnya oleh kebanyakan penduduk Malaysia.


Dapat juga dilihat beberapa penduduk kampung yang mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan delegasi. Ini disebabkan oleh terdapat beberapa penduduk kampung yang cuma memahami bahasa Sunda (salah satu dialek di Indonesia) dan tidak tahu berbahasa Indonesia. Memandangkan panti asuhan Rabiatul Janah terletak di kawasan pedalaman, mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bantuan dari segi kewangan. Berbekalkan peruntukan purata sebanyak 3000 Rp. (anggaran RM 1.00) sehari, pihak pengurusan panti asuhan tabah meneruskan usaha murni untuk menjaga kebajikan 30 anak kecil di pusat itu yang berumur lingkungan 4-13 tahun.


Peluang yang diberikan negara Malaysia kepada mahasiswa untuk menimba ilmu di perantauan digunakan sebaiknya oleh mahasiswa Malaysia di Indonesia. Walaupun sering dikenali dengan gelaran ‘ulat buku’, selain cemerlang dalam pelajaran, mereka juga aktif dalam kokurikulum. Bidang kepimpinan merupakan pilihan kebanyakan mahasiswa di sini antaranya mereka menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) serta Kelab UMNO Bandung (KUBI). Antara program terbaru yang telah mereka anjurkan ialah ‘Bandung games’ yang telah berjaya mengumpulkan mahasiswa Malaysia di setiap pelusuk Indonesia. Selain dapat mengeratkan silaturrahim antara mahasiswa, program itu juga diharapkan dapat menjadi sebagai salah satu medium bagi kebanyakan mahasiwa untuk melepaskan seketika tekanan mereka dengan mengasah bakat di gelanggang. Kuota 30% bagi mahaiswa Indonesia untuk menyertai Bandung games juga dilihat sebagai salah satu langkah bijak apabila selain dapat mewujudkan silaturrahim yang erat antara kontinjen, ini juga merupakan salah satu usaha jangka panjang dalam memastikan hubungan antara dua negara akan tetap terjalin apabila kebanyakan dari mereka telah bergelar pemimpin bagi negara masing-masing kelak.


Delegasi Malaysia juga tidak kurang hebatnya dalam berpidato. Ini dapat dilihat pada malam diskusi bersama PKPMI serta KUBI di mana antara delegasi serta wakil mahsiswa di Indonesia membincangkan mengenai isu kepayahan serta getir hidup serta menimba ilmu di rantau orang. Antara masalah yang sering dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Indonesia ialah mengenai isu keselamatan terutama di kediaman mereka serta masalah untuk mendapatkan tajaan bagi menjalankan sesuatu program.


Seterusnya program dilanjutkan kepada slot penyampaian sijil penghargaan delegasi di rumah pengarah kedutaan Malaysia di Indonesia sempena Majlis Ramah Mesra bersama Datuk Paduka Dr. Junaidy Abu Bakar. Diadakan dalam suasana santai, delegasi berkesempatan untuk berkenalan dengan Datuk Paduka serta keluarga dengan lebih rapat dan mesra. Persembahkan montaj program kepada Datuk Paduka telah memberikan pandangan bagi keseluruhan aktiviti yang telah dilalui. Datuk Paduka juga memberikan amanat kepada delegasi untuk terus aktif di dalam bidang yang diceburi serta melahirkan harapan untuk melihat para delegasi sebagai pewaris serta pemangkin kejayaan negara di masa hadapan.


Pada malamnya di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia telah diadakan Program Malaysian Festival 2010 (MAFEST). Bertemakan 1 Malaysia, beberapa persembahan menarik telah disajikan untuk penonton. Antaranya tarian India, sajak, tarian zapin, nasyid serta karaoke. Beberapa gerai jualan yang di adakan di luar dewan menyediakan banyak juadah tempatan dan disediakan sendiri oleh mahasiwa Malaysia yang menetap di sana.


Apa yang menarik di indonesia ialah tentang sistem lalu lintas mereka. Kebanyakan penduduk cuma perlu memberi isyarat menghentikan kenderaan sekiranya mereka ingin melintas; di mana keadaan ini jarang sekali dapat dilihat di Malaysia. Terdapat juga pengangkutan yang dikenali sebagai ‘angkut’, van yang mampu untuk membawa penumpang dengan kapasiti seramai 10 orang bagi satu masa. Van ini juga di labelkan dengan beberapa warna, menunjukkan beberapa kawasan yang dimiliki oleh pemandu. Bagi ‘ojet’ pula, iaitu perkhidmatan menghantar penumpang menggunakan motosikal, pemandu ‘ojet’ diwajibkan untuk memakai topi keledar, sedangkan kelonggaran diberikan bagi penumpang belakang untuk tidak menggunakan topi keledar. Dapat juga dilihat beberapa ‘sukarelawan berbayar’ berada di simpang-simpang jalan sebagai pengawal lalu lintas, menggantikan polis trafik. Namun, perkhidmatan mereka ini berbayar di mana pemandu perlu untuk memberikan wang upah kepada mereka, jumlahnya bergantung kepada keadaan. Sistem keretapi Jakarta yang agak sesak pada waktu siang menyebabkan pintu-pintu keretapi tidak ditutup bagi membolehkan lebih ramai penumpang boleh menaiki kenderaan terbabit. Di sini dapat dilihat bahawasanya faktor keselamatan tidak diletakkan sebagai prioriti utama.


Dapat juga dilihat sampah sarap di sungai-sungai di Jakarta. Keadaan yang sama dapat dilihat di Sungai Klang di Malaysia. Uniknya di sana, di tepi bangunan-bangunan digunakan sebagai ruangan iklan bagi kebanyakan syarikat-syarikat gergasi di Indonesia. Tidak cukup dengan itu, kawasan bumbung juga digunakan oleh mereka untuk meletakkan iklan. Keadaan di Malaysia, iklan Cuma diletakkan di ‘billboard’ atau papan tanda iklan yang telah disediakan dan disewakan oleh pihak kerajaan.


Pada keesokan harinya, iaitu 10 Disember, program diteruskan dengan slot pengamatan ekonomi di Tangkuban Parahu, Bandung. Dikaitkan dengan lagenda percintaan si ibu dan anak, Tangkuban Parahu merupakan salah satu tempat yang menarik untuk dilawati. Indonesia dikenali dengan karya kesusateraannya yang tinggi serta lagenda cerita rakyatnya yang unik, namun kebanyakannya tidak di versikan sebagai manuskrip menyebabkan plot serta jalan cerita kebanyakannya berlainan di antara setiap penduduk. Sebagai contoh, versi lagenda Tangkuban Parahu di antara pemandu pelancong, pihak kedutaan serta penduduk kampung adalah berlainan antara satu sama lain. Namun, temanya masih sama, iaitu percintaan songsang antara keluarga.


Sebagai salah sebuah gunung berapi yang masih aktif, Tangkuban Parahu menjadi salah satu tempat untuk mencari sumber pendapatan bagi kebanyakan anak jati kelahiran gunung tersebut. Di kiri serta kanan jalan di situ dapat dilihat deretan kedai cenderamata serta penjual yang menawarkan barangan secara terus kepada pengunjung. Di sini, kemahiran tawar menawar harga serta kemahiran komunikasi amat diperlukan oleh pembeli. Keadaan yang sama juga berlaku di Jalan Riau, Jalan Chihamplas, Tanah Abang serta Mangga Dua, Jakarta. Pelbagai jenis barangan dijual, termasuk servis unik. Antaranya ialah perkhidmatan penyewaan payung sewaktu hujan serta khidmat pembelian gambar yang telah ditangkap oleh penjual. Terdapat beberapa delegasi yang menggunakan khidmat penyewaan payung terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi akibat salah faham yang berlaku sewaktu penawaran harga.


Apa yang dapat dipelajari di sini ilah kegigihan kebanyakan penduduk mereka untuk mendapatkan pendapatan melalui cara mereka yang tersendiri. Beberapa kemahiran keusahawanan diperlukan untuk memastikan perniagaan mereka terus laris serta membolehkan mereka mengaut keuntungan.


Secara tidak langsung, beberapa ilmu juga dapat dipelajari daripada pemandu pelancong rombongan delegasi iaitu bapak Surjadja Tanudireja. Sememangnya, beliau tidak menafikan tentang beberapa kelemahan yang ada di negara mereka, terutama dari segi taraf hidup penduduk. Namun, sering beliau tegaskan bahawa walau apa pun yang berlaku, Indonesia masih negara yang dicintainya. Beliau yang berketurunan Cina tidak melabelkan diri beliau sebagai warga Cina, namun sebagai warga Indonesia. Dapat dilihat di sini, semangat kenegaraan mereka yang menebal dalam diri mereka, di mana kesemua warganegara Indonesia diwajibkan untuk fasih bertutur bahasa kebangsaan mereka Indonesia tidak kira walau apa pun warga asal mereka.


Memetik kata-kata Tuan Haji Ibrahim Bin Ali selaku Ketua Penolong Pengarah Kanan Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar di Kementerian Pengajian Tinggi merangkap pegawai pengiring delegasi ke Indonesia, mahasiswa sekarang terutamanya tidak seharusnya menumpukan hanya kepada pencapaian akademik semata. Beberapa kemahiran insaniah serta teknologi seiring dengan kehendak pasaran kerjaya juga perlulah dikuasai oleh mahasiswa untuk melahirkan generasi yang terbilang serta berdaya saing.


Sebagai penutup, dapat disimpulkan bahawasanya banyak perkara yang boleh dipelajari dari program ini. Antara cadangan bagi masa akan datang, diharapkan agar program seumpama ini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan dengan lebih menumpukan kepada lapisan kedua kepimpinan mahasiswa di universiti. Beberapa kemahiran Insaniah juga telah berjaya diterapkan dalam diri para delegasi, serta hasil keberkesanan pembelajaran telah direkodkan di dalam laporan rasmi delegasi.